Masjid merujuk kepada tempat sujud atau mengabdikan diri kepada Allah SWT (Ahmad, 2003). Dalam Kamus Dewan (2005) pula mendefinisikan masjid sebagai bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat dan ibadah-ibadah lain. Abdurrahman (Kertas Seminar Institusi Masjid Brunei Darussalam, 2004) pula menerangkan masjid merujuk kepada bangunan yang didirikan bagi maksud mengadakan solat, perkhidmatan dan pelbagai upacara yang berkaitan dengan Agama Islam selaras dengan peranannya sebagai pusat ibadah, muamalat, penyebaran Islam, pemerintahan, pusat ilmu, pusat pembentukan akhlak dan pusat kegiatan sosioekonomi yang boleh memberi manfaat kepada Islam dan umatnya. Umat Islam dituntut untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang boleh mendatangkan faedah. Pengimarahan masjid merangkumi aktiviti berkaitan muamalat dan ekonomi untuk tujuan menambah dana masjid bagi membiayai semua aktiviti anjuran masjid. Di samping boleh membantu pembangunan ekonomi komuniti setempat. Hal ini jelas menunjukkan terdapatnya perkaitan yang rapat antara institusi masjid dengan pembangunan sosioekonomi umat Islam.
Perniagaan sosial merupakan suatu konsep perniagaan yang bertujuan menyelesaikan permasalahan sosial atau menjana hasil bagi kegunaan sosial, bukan untuk keuntungan peribadi (Suraiya & Ahmad Raflis, 2015). Muhammad Yunus et al., (2010), mengklasifikasikan perniagaan sosial kepada perniagaan sosial Type I iaitu perniagaan sosial yang tidak membenarkan penyumbang dana mengambil sebarang keuntungan atau dividen daripada hasil perniagaan itu dan perniagaan sosial Type II iaitu perniagaan sosial yang diusahakan oleh golongan terpinggir atau institusi sosial yang mana pendapatan dan keuntungannya akan disalurkan untuk manfaat kemandirian golongan terpinggir atau institusi sosial itu sendiri. Berdasarkan pengkelasan itu, institusi masjid didapati cenderung tergolong sebagai institusi yang mengamalkan perniagaan sosial Type II. Ini disebabkan kebanyakan masjid melaksanakan aktiviti ekonomi dengan matlamat menambah dana dan membiayai semua aktiviti yang dirancang (Ahmad Raflis et al., 2015). Oleh itu, terdapat kecenderungan Jawatankuasa Kariah Masjid untuk berinovasi, berakauntabiliti dan menggunakan semua sumber-sumber yang dimiliki secara cekap menerusi perniagaan sosial yang dijalankan (Kickul dan Lyons, 2012).
Kesemua Koperasi Kariah Masjid ini didaftar dalam pelbagai fungsi perniagaan seperti pertanian, perumahan, perindustrian, pengguna, pembinaan dan perkhidmatan. Objektif penubuhan KKM ialah:
Mewujudkan perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan umat Islam
Melonjakkan masjid sebagai pusat menjana ekonomi komuniti
Pusat pelaksanaan ekonomi berlandaskan syariah Islam
Pusat kebajikan masyarakat
Pusat menimba ilmu dan kemahiran pengurusan perniagaan.
Dengan inisiatif diatas, Koperasi Masjid Al-Marbawi Melaka Berhad terlah berjaya didaftarkan pada 19 Mei 2022 dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Koperasi Masjid Al-Marbawi Melaka Berhad merupakan sebuah koperasi yang ditubuhkan berasaskan komuniti oleh institusi masjid. . Objektif Koperasi Masjid Al Marbawi Melaka Berhad adalah untuk :
Membangunkan ekonomi kariah masjid melalui aktiviti perniagaan
Mewujudkan peluang2 niaga kepada ahli kariah
Memajukan tanah2 waqaf masjid
Pusat pelaksanaan ekonomi berlandaskan syariah Islam
Pusat kebajikan masyarakat
Pusat menimba ilmu keusahawanan dan kemahiran pengurusan perniagaan
Syarat Keahlian:
Modal syer minima sebanyak RM100
Yuran pendaftaran sebanyak RM30 (tidak akan dikembalikan).