APA ITU LEMBAGA KHAIRAT KEMATIAN?
Khairat berasal daripada perkataan bahasa arab yang memberi maksud kebajikan di mana ia turut merangkumi derma, sedekah dan sebagainya. Sedekah atau derma ialah sumbangan ikhlas daripada seseorang untuk diberikan kepada seseorang yang lain. Menurut Kamus Dewan, derma bermaksud sebagai bantuan yang berupa wang (kepada perkumpulan dan lain-lain), pemberian yang ikhlas dan sedekah (kepada orang miskin dan lain-lain). Sedekah pula bermaksud pemberian kepada fakir miskin dan lain-lain (dengan ikhlas). Manakala khairat diertikan sebagai kebajikan, derma atau sedekah.
Penggunaan istilah pungutan khairat ini telah diguna pakai sejak sekian lama di Malaysia, contohnya dalam Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 1952 dan Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam (Negeri Perak) 1965. Namun begitu, penggunaan istilah pungutan khairat ini tidak meliputi khairat kematian yang diwujudkan di masjid-masjid kariah, tetapi boleh digunakan sekiranya dana tabung khairat kematian diwujudkan secara pungutan derma. Khairat kematian pada kebiasaannya ialah wang yang dikumpul daripada pencarum yang tinggal di sesuatu kawasan (ahli dan anak kariah) pada kadar tertentu dan diberikan kepada waris seseorang yang meninggal dunia apabila berlaku kematian.
Penubuhan Tabung Khairat Kematian Lembaga Masjid Al-Marbawi adalah selaras dengan saranan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memudahkan pengurusan pengkebumian jenazah di khariah & kawasan masjid. Galakan ini bagi memudahkan pengurusan kematian oleh masyarakat tanpa membebankan waris dengan mencarum secara bulanan atau tahunan. Amaun caruman bergantung pada jumlah manfaat yang akan dibayar sebagai bantuan apabila ahli meninggal duania. Dan kadar caruman adalah ditentukan oleh anggota setiap tahun melalui mesyuarat agung tahunan.
Tabung Khairat Kematian Lembaga Masjid Al Marbawi ditubuhkan bagi meringankan perbelanjaan pengkebumian setiap kematian dalam sesebuah keluarga ahli. Dengan yuran keahlian yang rendah, bantuan perbelanjaan pengkebumian akan di beri, dengan yuran yang rendah, bantuan pengkebumian akan diberi. Setiap ahli kariah boleh memohon untuk menjadi ahli Tabung Khairat dengan syarat :
1. Ahli menetap di dalam kariah Masjid Al Marbawi
2. Bantuan diberi selepas 3 bulan mendaftar menjadi ahli Tabung Khairat
Ahli kariah yang ingin menyertai Tabung Khairat perlu mengisi Borang Keahlian dan menyerahkan kepada mana-mana Ketua Sektor yang telah di lantik oleh Jawatankuasa Tabung. Borang keahlian yang lengkap hendaklah diserah beserta dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM10 dan Yuran keahlian atas kadar RM5 sebulan atau RM60 setahun. Keahlian akan berkuatkuasa mulai bulan ke tiga selepas pendaftaran di terima menjadi ahli.
Ketua keluarga yang ingin menjadi ahli hendaklah mendaftarkan namanya serta tanggungan, lengkap dengan nombor kad pengenalan / nombor surat beranak dan umur tanggungan. Bagi setiap kelahiran anak-anak yang baru hendaklah juga didaftarkan sebagai tanggungan. Anak-anak yang telah berkahwin tidak lagi dianggap sebagai tanggungan
Manfaat keahlian yang akan di perolehi ada lah :
1. Setiap ahli layak menerima bantuan tabung ini akan diberikan sumbangan bernilai RM 1150.00 (kematian dalam Negeri Melaka) dan RM 1200.00 (kematian luar Negeri Melaka) yang merangkumi :
a. Kemudahan kenderaan jenazah
(tertakluk pada jarak tertentu)
b. Pengurusan jenazah
(mandi, kafan, solat & talkin)
c. Peralatan pengkebumian
(kain kafan & papan lahad)
d. Kenduri hari pertama
e. Batu nesan
2. Ahli yang berpindah ke kawasan lain (luar kariah) masih dianggap sebagai ahli kecuali ahli tersebut ingin berhenti
3. Keahlian Tabung Khairat akan ditamatkan jika ahli gagal menjelaskan yuran selama 3 bulan berturut-turut
Bagi urusan pengkebumian, waris hanya perlu mengisi borang kebenaran pengkebumian di link e-pusara Masjid Al Marbawi dibawah dengan hanya klik logo e-pusara dan lakukan pembayaran terus ke akaun masjid bagi bukan ahli khairat. Setelah maklumat dilengkapkan, pihak pengurusan Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Marbawi akan meneliti borang dan mengesahkan bayaran (ahli khairat atau bukan ahli khairat) dan mengeluarkan no siri lot kubur bagi jenazah.